Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu Geoffrey Fisken

Dalam bulan Februari 1941, Fisken ditukarkan ke Singapura untuk menyertai 205 Skuadron Tentera Udara Diraja (RAF) untuk mengendalikan kapal terbang laut jenis Short Singapore. Apabila dia tiba di Singapura, dia mendapati pesawat-pesawat itu sedang dipindahkan kepada 5 Skuadron RNZAF. Fisken kemudian dihantar untuk membuat kursus peralihan menjadi juruterbang pesawat pejuang menggunakan pesawat CAC Wirraway dan Brewster Buffalo milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF). Selepas menamatkan kursus peralihan, Fisken dihantar bertugas dengan 67 Skuadron RAF yang sedang ditubuhkan di Kallang bersama-sama dengan 243 Skuadron RAF.

Walaupun pesawat Buffalo yang melengkapkan 67 Skuadron menunjukkan kejayaan dalam kendalian oleh juruterbang Ilmavoimat di Finland, pesawat Buffalo ini menghadapi banyak masalah kendalian. Dalam perkhidmatan RAF, pesawat ini dikira tidak sesuai untuk kegunaan di medan Eropah di mana ia tidak setanding pesawat Jerman seperti Messerschmitt Bf.109 dan dengan sebab itu dihantarkan untuk perkhidmatan di Timur Jauh di mana pesawat jenis ini dijangkakan dapat menandingi pesawat kegunaan Jepun.

Dalam bulan Oktober 1941, 67 Skuadron berpindah ke medan operasi Burma tetapi Fisken tidak berpindah kerana ditukarkan ke 243 Skuadron di Kallang. Apabila Jepun membuat pendaratan Jepun di Kota Bharu pada 8 Disember 1941, 243 Skuadron ditugaskan memberikan perlindungan udara kepada HMS Prince of Wales dan HMS Repulse. Tetapi apabila Jepun melancarkan serangan udara ke atas Singapura, tugas 243 Skuadron dialihkan untuk memberikan perlindungan udara kepada Singapura.

Pada 12 Januari 1942 Fisken membuat tuntutan kemenangannya yang pertama ke atas sebuah pesawat Nakajima Ki-27. Dua hari kemudian, Fisken membuat tuntutan ke atas kemusnahan sebuah pesawat Mitsubishi Zero walaupun dia sendiri bernasib baik kerana dapat mendaratkan pesawatnya selepas terkena serpihan pesawat yang ditembaknya. Pada 17 Januari 1942 Fisken menembak jatuh 3 buah pesawat pengebom Mitsubishi G3M Nell. Empat hari kemudian, Fisken menembak jatuh sebuah pesawat pejuang lagi.

Pada ketika ini, 243 Skuadron sudah kehilangan kebanyakan daripada pesawatnya dan digabungkan dengan skuadron 453 RAAF. Skuadron ini meneruskan perjuangan bersama-sama 488 Skuadron RNZAF. Pada 1 Februari 1942, Fisken diserang hendap oleh dua buah pesawat pejuang Jepun tetapi Fisken berjaya menembak jatuh salah satu daripadanya. Tetapi Fisken sendiri mendapat cedera terkena peluru meriam di bahagian lengan dan kaki. Fisken dipindahkan ke New Zealand untuk rawatan pemulihan sebelum Kejatuhan Singapura.